Archive for April, 2010
Tanaman Gaharu Bhg 1.

Bila menyebut gaharu, ramai di antara kita yang membayangkan harganya yang begitu mahal sehingga ada yang mengatakan ia lebih bernilai dari emas. Harganya boleh mencecah sehingga RM14,000 – RM20,000 sekilogram untuk kepingan gaharu yang bermutu tinggi. Namun, semua hasil ini diambil dari hutan dan kini realitinya, pokok karas diancam kepupusan.
Tanpa kesedaran untuk penanaman semula, negara kita mungkin tidak lagi dapat mengeksport hasil gaharu yang begitu tinggi permintaannya ke negara-negara Timur Tengah dan juga negara lain seperti Taiwan, Jepun dan sebagainya. Mungkin kita patut menoleh ke negara jiran yang lain seperti Indonesia, Thailand dan Myamar, mereka sudah jauh meninggalkan kita dari segi teknologi dan perladangan.
Mungkin, kekurangan sumber maklumat yang tepat dan juga permulaan modal yang tinggi untuk diusahakan secara komersil menjadi faktor ia kurang diminati. Wajar, agensi – agensi kerajaan yang ada memainkan peranan dalam menyalurkan fakta yang lengkap dan perkembangan teknologi harus dicapai dalam usaha menjadikan ia sebagai industri direalisasikan.
Ramai di antara kita yang tidak sedar, usaha penanaman pokok karas sudahpun dilakukan oleh beberapa agensi yang ada di beberapa tempat di negara kita, juga penyelidikan dalam penghasilan gaharu melalui kaedah suntikan dan inokulasi juga giat dijalankan.Namun, kurangnya pendedahan dan pengumpulan maklumat, ia kurang memberi impak dalam pelaksanaannya.
Untuk mereka yang berminat dalam penanaman pokok karas, mungkin ada berita gembira. Mulai tahun hadapan (2007), teknologi dalam penghasilan gaharu akan dibawa masuk ke negara kita. Usaha menjemput Prof. Blanchette oleh satu agensi kerajaan adalah sangat tepat pada masanya. Namun, jika kita tidak menanamnya, teknologi tiada makna.
Berbalik kepada usaha penanaman pokok karas secara ladang, beberapa faktor harus dipertimbangkan seperti pemilihan anak benih, jarak tanaman, kaedah tanaman, kaedah suntikan dan pasaran. Ia harus dinilai untuk meminimakan risiko yang ada dan mendapat hasil yang maksima selepas 7 tahun pelaburan.
Pertamanya, pemilihan anak benih sering menjadi persoalan. Ada yang mengatakan spesis A lebih baik dari spesis B dan ada yang sebaliknya kerana ia lebih cepat membesar dan lebih mahal. Seharusnya kita meneliti semula beberapa kajian, pokok karas sebenarnya mempunyai method yang berbeza dengan pokok lain. Pokok yang sihat dan membesar dengan cepat menghasilkan resin gaharu yang sedikit berbanding pokok yang sakit dan diganggu.
Ia sebenarnya selari dengan kejadian semulajadi gaharu di dalam hutan, pokok yang berada di kawasan berbatu dan mengalami tindakbalas kecederaan yang teruk menghasilkan gaharu yang lebih bermutu. Kita juga harus melihat kepada permintaan pasaran, spesis manakah yang menjadi pilihan pembeli dan mempunyai harga yang tinggi. Spesis Aquilaria Malaccencis adalah merupakan salah satu spesis yang mempunyai nilai komersil yang tinggi.
Manakala kaedah penanaman, jarak penanaman 6′x6′ atau 10′x10′ menghasilkan jumlah tanaman pada 430 pokok atau 1,000 pokok seekar. Penanaman secara intergrasi adalah lebih meminimunkan risiko, malahan memberi pulangan jangka pendek yang boleh menampung kos keseluruhan. Sulaman boleh dilakukan dengan tanaman herba dan tanaman kontang. Penjarakkan yang sesuai harus dilihat.
Selepas pokok karas mencapai usia 5 tahun, suntikan sejenis enzim dilakukan untuk penghasilan gaharu dan dibiarkan selama 2 tahun sebelum mendapat hasil. Perlu diingatkan, tanpa teknologi ini pokok karas tidak akan membentuk gaharu di dalamnya. Berbeza dengan semulajadi, gaharu terbentuk pada usia pokok 20 – 40 tahun melalui gangguan oleh fizikal atau microrganisme.
Banyak laporan di dada akhbar dan laman web, menyatakan setiap pokok menghasilkan gaharu bernilai sehingga RM14,000 – RM18,000. Tetapi, kita perlu menilai setiap aspek dan risiko. Mungkin tidak keterlaluan jika kita meletakkan RM1,000 sahaja untuk sepokok yang menghasilkan gaharu. Bayangkan anda menanam 1,000 pokok dan anda tentu dapat mengira angkanya. Malahan jika hanya 50% sahaja yang menjadi, jumlah pendapatannya masih tinggi!
Oleh itu, amat penting untuk kita semua memperolehi sebanyak mungkin maklumat untuk merealisasikan penanaman pokok karas secara ladang. Diharapkan ada agensi yang bertindak sebagai pemantau dan dapat menyimpan data semua ladang karas di negara kita. Maklumat sebegini amat berguna untuk rujukan dimasa akan datang.
Rujukan : Jabatan Hutan.
Rehat Minda
Atas saranan doktor, Mamat dihantar untuk berubat di USA kerana penyakitnya yang agak kritikal. Sesampainya di Hospital New York, Mamat dibawa ke bilik bedah dan dipasangkan tiub getah kiri dan kanan.
Beberapa jam kemudian, seorang pesakit dari UK yang kelihatannya lebih parah dibawa masuk dan diletak bersebelahan katil si Mamat. Si Mat Saleh ini walaupun kelihatannya lemah, dia masih mencuba untuk
berkomunikasi dengan Mamat. Dia mengangkat tangannya dengan susah payah dan berkata : “United Kingdom…”
Mamat yang juga sedang lemah, menjawab: “Malaysian…”
Setelah itu dua-duanya pengsan karena keletihan. Beberapa jam kemudian mereka kembali sedar dan cuba berkomunikasi lagi.
Si Mat Saleh berkata dengan lemah: “James…”.Dijawab dengan susah payah oleh Mamat: “Mamat…”
Habis itu mereka pengsan lagi. Beberapa jam kemudian setelah sedar,mereka berdua masih mencuba melanjutkan
percakapannya.”Birmingham…” kata si Mat Saleh.
Dijawab Mamat:”Parit…”.pengsan lagi.
Tak lama kemudian mereka sedar dan masih mencuba untuk berbual.Si Mat Saleh yang sudah hampir kehabisan nafas berkata : “Cancer…”
Dan dengan sisa-sisa nafas yang ada Mamat menyahut: “Capricorn!”
Ambil iktibar
KEMAMAN 17 Dis. – Seorang warga emas percaya amalan membaca bismillah dan doa setiap kali melangkah keluar dari rumahnya yang turut dijadikan kedai runcit membantu menyelamatkan premisnya daripada menjadi mangsa pencuri baru-baru ini.
Che Ibrahim Che Abdullah, 57, yakin kejadian misteri menimpa seorang pencuri yang “terperangkap” dalam kedainya selama dua malam sehingga hampir maut akibat kelaparan dan dahaga ketika dia sekeluarga balik kampung pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini semata-mata kuasa Allah hasil amalannya itu.
Warga emas itu menolak anggapan dia menggunakan ilmu hitam sebagai pendinding untuk “memagar” rumahnya daripada dimasuki pencuri.
”Ini semua kuasa Allah, saya tidak ada apa-apa ilmu mengenai kejadian ini,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai di sini baru-baru ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Disember lalu, seorang pemuda berusia 30-an memasuki kedai itu dipercayai untuk mencuri ketika Che Ibrahim sekeluarga pulang berhari raya di Selising, Kelantan.
Selepas tiga hari pulang berhari raya, dia terkejut melihat keadaan kedainya bertaburan, malah isterinya pengsan melihat keadaan itu manakala dari dalam bilik tidur terdengar bunyi orang mengerang kesakitan.
Apabila dijenguk ke dalam bilik itu, warga emas itu menemui seorang lelaki dalam keadaan lemah dan dia mendakwa gagal keluar daripada kedai itu kerana tidak mampu melihat apa-apa dan terdapat ‘lembaga’ yang menghalangnya daripada keluar.
Menurut Che Ibrahim, kedainya sebelum ini pernah dipecah masuk apabila dia sekeluarga pulang ke kampung mereka di Selising tetapi pencuri tersebut tidak mengambil apa-apa walaupun boleh berbuat demikian.
Tidak tahan dengan kejadian itu, dia yang telah berniaga 20 tahun mengamalkan bacaan bismillah dan doa memohon perlindungan Allah setiap kali meninggalkan premisnya.
”Ramai yang bertanya apa ilmu saya amalkan, tetapi terus-terang saya katakan tiada apa-apa ilmu dan semua kejadian ini adalah kuasa Allah,” ujarnya.
Kata Che Ibrahim, jika difikirkan secara logik lelaki tersebut boleh mengambil apa jua makanan di kedainya tetapi kerana tidak dapat melihat apa-apa menyebabkannya terpaksa berlapar selama tiga hari.
”Nasib baik saya tinggalkan kedai selama tiga hari saja, kalau saya pulang lebih daripada seminggu, mungkin lain pula jadinya kepada lelaki tersebut,” katanya yang lega lelaki itu dapat diselamatkan.
Dia juga bersyukur kerana tiada barangan yang hilang termasuk wang tunai.
p/s: Bismillah jika dibaca.. diamal dan ikhlas kerana Allah , banyak faedahnya
Kenali Cekur Manis.
Nama Tempatan: Cekur Manis
Nama Saintifik: sauropus androgynus
Nama Lain: Taruk manis, asin-asin, cekup manis, sweet leaf bush,katuk, ma ni chai,
Famili: Euphorbiaceace
Lokasi dijumpai: Asean
Keterangan:
Tumbuhan yang popular sebagai sayuran di Malaysia ini boleh mencapai ketinggian hingga 8 meter jika tidak dicantas.Namun untuk mengekalkan kesuburan dan memastikan penuaian yang berterusan ia perlu dicantas selalu hingga mencapai ketinggian 1-2 meter.Ia membiak melalui dua kaedah biasa iatu biji benih dan keratan batang namun benih yang dihasilkan melalui keratan batang lebih bermutu.Ia mempunyai daun yang berwarna hijau gelap dan tersusun rapi di kiri dan kanan tangkai.Buahnya berwarna putih ketika muda dan akan berubah menjadi merah samar atau coklat ketika matang.
Daunnya yang masih muda sedap dijadikan sayuran seperti dijadikan masak lemak, sup dan digoreng bersama udang kering. Pucuknya yang masih muda begitu rangup dan mempunyai rasa seakan-akan asparagus.Selain dari dijadikan sayuran ia juga boleh dijadikan pewarna makanan sama seperti daun pandan dan warna yang dihasilkan oleh daun cekur manis lebih gelap dari warna yang dihasilkan oleh daun pandan. Ia juga selalu dicampur dengan perahan daun pandan untuk mendapatkan warna yang lebih gelap.Keistimewaan tumbuhan ini ialah walaupun telah dimasak warna hijau gelapnya tetap kekal.Bunga dan buahnya juga sedap dijadikan sayuran.
Daunnya mengandungi banyak provitamin A karetinoid,terutamanya daunnya yang baru dipetik dan masih segar.Ia juga mengandungi vitamin B, C protein dan mineral.Kandungan nutriennya semakin tinggi jika daunnya semakin tua.Tumbuhan ini tumbuh dengan lebih subur dikawasan yang agak redup, ia boleh bertoleransi terhadap tanah yang mempunyai kandungan asid yang tinggi (masam kelat) dan boleh tumbuh dikawasan tanah liat. Serangga perosak utama tumbuhan ini ialah sejenis kumbang Adoretus sinicus.
Kegunaan:
Cekur manis digunakan dalam perubatan tradisional untuk membanyakkan susu ibu. Caranya daun cekur manis yang telah dihancurkan ditampal pada payu dara ibu, dibasuh selepas kering. ia juga di gunakan untuk menghitamkan rambut bayi.Jusnya boleh digunakan untuk mengubat sakit mata dan demam. Namun pengambilan berlebihan cekur manis juga dikatakan boleh membawa kepada masalah paru-paru
Tip mengurangkan stress
Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.
Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :
1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.
3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.
7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
8.) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.
9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya

