Archive for the ‘Ternakan Ketam Nipah’ Category

Asas Pembinaan Kolam

Wednesday, September 8th, 2010

Dalam merancang pembinaan sebuah kolam tanah khususnya ikan air tawar ramai penternak tidak mendapat maklumat yang betul, keliru dan kadang kala bersifat tamak. Ini antara faktor menyebabkan fenomena kolam terbiar. Beberapa perkara asas berkenaan kolam haruslah diketahui oleh penternak dalam merancang pembinaannya.

jenis-tanah-kolam.jpg
Jenis tanah yang sesuai adalah faktor utama dalam pembinaan kolam tanah

Antaranya

Kesesuaian tanah

Mempunyai daya takungan. Dalam bahasa mudah tanah tersebut dapat menakung air. Ini amat penting bagi memastikan kolam sentiasa berisi dengan air. Kebiasaannya tanah liat menjadi pilihan utama kerana daya takungan air yang tinggi. Tanah liat jenis berpasir antara jenis tanah terbaik dan sesuai bagi kolam tanah khusus ternakan ikan air tawar.

Sumber air

Sumber air yang bersih dan cukup penting dalam pengurusan sebuah kolam ternakan. Air sungai dan sumber air bawah tanah antara bekalan air yang biasa digunakan. Sumber air bawah tanah sekurang² perlu dirawat terlebih dahulu kerana kandungannya yang tidak berapa ‘mesra’ dengan ternakan. Air sungai dengan sistem pengaliran yang sesuai merupakan sumber air lebih ekonomi berbanding air bawah tanah.

Kegunaan air berbeza mengikut spesis ternakan diusahakan. Ada spesis ternakan yang memerlukan air yang banyak bagi menampung keperluan oksigen dan keseimbangan air. Namun terdapat sistem sokongan seperti blower dan paddle wheel bagi mengatasi masalah ini.

Rekabentuk kolam

Sebuah kolam haruslah berkonsep seperti sebuah sungai, di mana terdapat aliran air masuk dan air keluar. Ini penting bagi memastikan keseimbangan air kolam. Ini penting dalam sistem pengurusan sebuah kolam ternakan, ramai penternak tidak mendapat maklumat betul mengenai perkara ini.

Ketiadaan saluran air keluar bagi sesebuah kolam ternakan antara kesilapan utama semasa pembinaan kolam ternakan oleh perternak. Pertambahan kos bagi mengering sebuah kolam menjadikan ianya tidak ekonomi kepada penternak.

Rekabentuk dasar sebuah kolam memainkan peranan penting dalam pengurusan sebuah kolam tanah. Dasar kolam yang rata dan mempunyai sudut kecondongan bagi pengaliran air keluar ada penting terutamanya semasa proses menuai hasil ternakan.

Bagi kolam yang luas, ruang jalan ladang perlu disediakan di atas tebing kolam bagi melancarkan kerja pemberian makanan dan penuaian hasil ternakan.

Lokasi

Seperti bidang perniagaan, pembinaan kolam ternakan ditentukan oleh faktor penting iaitu lokasi. Elakkan kolam dibina di kawasan yang dilanda banjir , kebanyakan tanah yang sesuai bagi pembinaan kolam ternakan kebiasaannya terletak di kawasan yang ditengelami banjir seperti tanah rendah dan tepi sungai. Perubahan cuaca dunia yang tidak menentu sekarang memburukkan lagi keadaan.

Jenis tanah yang sesuai, sumber air dan rekabentuk kolam serta keluasan kolam adalah gabungan faktor lokasi. Tidak semuanya tanah sesuai untuk dibina kolam contoh, sekiranya terdapat tanah yang sesuai untuk pembinaan kolam namun sumber air terhad adalah halangan utama.

Kemudahan asas

Jalan ladang, elektrik dan bekalan air ialah kreatia yang perlu diambil kira dalam pembinaan kolam terutamanya mempermudahkan pengurusan ternakan.

Ternakan ketam Nipah

Sunday, August 29th, 2010

Ketam nipah yang juga dikenali ketam batu oleh penduduk tempatan dari spesies Scylla serrata di mana ditemui habitat asal di muara, kuala sungai dan pesisiran pantai.

Ketam ini mempunyai potensi dalam bidang industri perikanan terutamanya dari kegiatan separa kultur. Berat purata ketam yang telah matang antara 250 gm hingga 400 gm dengan lebar karapasnya antara 10 – 15 cm. ketam ini dapat membesar sehingga karapasnya mencapai 20cm iaitu dengan berat badan melebihi 1kg. ketam betina yang telah matang mempunyai ovari yang menjadi makanan mewah.

Kajian membuktikan bahawa ketam yang dipelihara di dalam kolam boleh membesar boleh mencapai saiz pasaran (10 cm -15 cm lebar karapas) dalam masa 7 – 8 bulan, manakala lebih kurang 2 juta telur dihasilkan oleh seekor ketam betina yang matang dan selalunya betelur lebih daripada sekali setiap musim.

Manakala dari segi permakanan untuk ternakan ketam, penggunaan ikan baja antara yang paling sesuai untuk memenuhi diet permakanan ketam di mana sebanyak 5% – 6% daripada berat badannya diberikan setiap hari. Ini menunjukkan peternakan ketam mempunyai potensi untuk dimajukan oleh peternak yang terlibat di dalam aktiviti peternakan air payau.

Sumber: Jabatan Perikanan, Malaysia