Info tanaman – Cempedak.

VARIETI-VARIETI CEMPEDAK:

CH 28
Klon ini berasal dari Pusat Pembangunan Komoditi Serdang dan didaftarkan pada 1 Jun 1978.  Saiz buah sederhana besar dengan berat yang boleh mencapai sehingga 2.5 kg.  Ukuran panjang buah adalah diantara 30-76 cm.  Kulit buah berwarna kekuningan dan permukaannya berombak sedikit.  Isi ulasnya tebal, sangat manis, berbau sangat harum dan berwarna kuning.

CH 30
Dikenali dengan nama Kuang 5, berasal dari Kuang, Sungai Buloh, Selangor dan didaftarkan pada 1 Jun 1978.  Buah bersaiz sederhana besar (2.5 kg) dan berbentuk lurus.  Kulit berwarna hijau, licin dan tidak berbonggol-bonggol.  Durinya leper dan lebar.  Klon ini mengandungi ulas sederhana besar.  Isinya tebal dan berwarna kuning oren.

CH 33
Buah cempedak ini digelar cempedak ’syin’, berasal dari kampung Banggol Lalang, Gurun, Kedah dan didaftarkan pada 15 Ogos 1989.  Saiz buah sederhana (2.2 kg) dan berbentuk panjang.  Kulit berwarna hijau dan terdapat tompok-tompok berwarna kuning.  Durinya hampir-hampir rata.  Isi berwarna oren, sederhana tebal, manis dan ira isi yang halus.  Bijinya kecil, berbentuk bujur dan leper.

PANDUAN MENANAM:

Iklim:

Cempedak sesuai ditanam di bawah iklim yang panas dan lembap.  Walau bagaimanapun pokok pada peringkat dewasa tidaklah begitu terjejas sangat oleh keadaan kemarau.  Suhu yang sesuai untuk tanamaj cempedak ialah antara 22oC -35oC. Curahan hujan yang optimum untuk tanaman cempedak ialah 2500 mm setahun.

Musim berbuah bagi tanaman cempedak dipengaruhi`oleh musim kering.&lbsp; Kawasan yang mempunyai dua musim kering yang pendek dalam setahun biasanya mempunyai dua kali musim buah dalam setahun.  Di kawasan yang hanya mempunyai satu musim kering seperti di Perlis, Kedah, Kelantan dan sebahagian kawasan di Terengganu, pokok cempedak berbuah hanya sekali dalam setahun.

Tanah:

Sesuai ditanam di berbagai jenis tanah dan keadaan tanah yang mempunyai saliran yang baik.  pH yang sesuai ialah antara 4.5  6.5.  Penanaman di tanah rendah dan mempunyai masalah air bertakung hendaklah dielakkan oleh sebab tanaman cempedak rentan kepada penyakit bakteria yang senang merebak dalam keadaan lembab.  Ia paling sesuai di tanah lanar yang mempunyai saliran yang baik.  Tanaman ini juga boleh ditanam di tanah yang kurang subur seperti tanah laterit dan tanah pasir sekiranya diberi baja yang cukup.  Tanaman yang ditanam di tanah yang tidak subur seperti tanah bris tidak disyorkan memandangkan kos baja yang diperlukan adalah tinggi.

Pokok cempedak boleh tumbuh dengan sempurna di tanah yang mendatar hingga kecuraman tanah 20o.  Di kawasan yang mendatar sistem perparitan yang berkesan perlu dibina sebelum penanaman dibuat.  Manakala di kawasan yang curamnya melebihi 12o, penanaman berteres atau berpentas perlu diamalkan.  Penanaman di terain yang melebihi 20o tidak disyorkan untuk mengelakkan hakisan tanah terutamanya di kawasan yang mempunyai musim tengkujuh yang berpanjangan.

Penyediaan benih tanaman:

Anak pokok cempedak boleh dibiakkan dengan cara cantuman matatunas, cantuman baji dan cantuman sandingan.  Cara yang biasa digunakan ialah cantuman matatunas dan cantuman baji. Anak pokok penanti perlu disediakan terlebih dahulu di tapak semaian. Benih cempedak atau nangka boleh digunakan sebagai pokok penanti.  Biji benih diperolehi dari buah yang matang atau masak.  Kebaikan menggunakan biji benih nangka ialah ia boleh diperolehi sepanjang tahun.  Sebelum menyemai, kotak semaian yang dilengkapi dengan sistem pengairan perlu disediakan.  Pasir sungai yang bersih digunakan sebagai medium semaian.  Pasir di kotak semaian hendaklah sedalam 20 cm.  Pasir yang boleh digunakan perlu dirawat dengan butir dazomet 99.0% dengan kadar 40 gm/m2 sebulan sebelum biji benih disemai.  Rawatan ini bertujuan untuk mengawal kulat tanah, nematoda dan juga dapat memusnahkan biji benih rumpai.

Kawasan penanaman:

Kawasan penanaman hendaklah dibersihkan dengan sempurna sebelum menanam dan diikuti dengan pembajakan bagi kawasan yang mempunyai kecerunan kurang daripada 6o.  Amalan ini penting untuk memusnahkan segala rumpai dan membaiki struktur tanah.  Di kawasan yang mempunyai kecerunan tanah melebihi 12o, pembinaan teres atau pentas untuk tapak pokok adalah disyorkan bagi mengurangkan masalah hakisan tanah, dan juga memudahkan kerja menanam dan penyenggaraan ladang.  Penanaman penutup bumi selepas kerja penyediaan tanah digalakkan kerana ianya boleh membaiki kesuburan tanah dan mengurangkan hakisan.

Bagi tanah yang masam dan mempunyai pH kurang daripada 4.5, pengapuran perlu dijalankan.  Secara am, pada tanah lempung kadar yang digunakan ialah 3-5 tan metrik sehektar dan kadar ini berkurangan bagi tanah berpasir.  Bagi kawasan yang mendatar, sistem perparitan (parit ladang, parit sekunder, parit utama) perlu disediakan.  Bagi tanah lempung jarak 40 meter.  Di kawasan tanah datar, parit sekunder sedalam 1.2 m digali dengan jarak lebih kurang 300 m antara satu sama lain.

Penanaman di ladang:

Sebelum tanaman di ladang, anak pokok perlu didedahkan kepada cahaya matahari sepenuhnya secara berperingkat-peringkat bagi mengurangkan kejutan penanaman dan seterusnya mengurangkan peratusan anak pokok yang mati atau terbantut di ladang.  Penanaman sebaik-baiknya dijalankan pada awal musim hujan supaya pokok mendapat air dengan secukupnya.

Sistem penanaman:

Sistem penanaman yang diamalkan ialah sistem empat segi sama, sistem tiga segi sama dan sistem siku keluang.  Jarak tanaman yang disyorkan untuk cempedak yang ditanam secara tunggal ialah 9 meter antara pokok.  Penanaman menggunakan sistem tiga segi akan memberikan kepadatan yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 15% dibandingkan dengan sistem empat segi sama.

Sistem siku keluang melibatkan penanaman pokok selingan di tengah-tengah pokok utama yang ditanam mengikut sistem empat segi sama.  Pokok selingan merupakan tanaman sementara dan akan dibuang apabila kanopinya mula bersaing dengan tanaman utama.  Dengan sistem ini, cempedak ditanam sebagai tanaman sementara berselingan dengan pokok-pokok buah-buahan kekal seperti durian, manggis dan duku langsat.  Dengan sistem ini kepadatan pokok cempedak adalah sama dengan pokok kekal.  Pokok cempedak perlu dibuang lebih kurang 10 tahun selepas penanaman.

Pemangkasan:

Pokok cempedak perlu dipangkas untuk tujuan berikut:-

  • membentuk pokok yang seimbang
  • memastikan edaran udara yang baik
  • memelihara kecergasan pertumbuhan pokok
  • mewujudkan dahan yang kuat dan boleh mengeluarkan buah yang banyak dan berkualit
  • mengawal ketinggian dan saiz kanopi pokok

Dua jenis pemangkasan perlu dilakukan seperti berikut:-

1.      Pemangkasan pembentukan

Bertujuan untuk mendapatkan bentuk pokok yang baik setelah pokok berumur 1 1/2 tahun.

2.      Pemangkasan penjagaan

Dijalankan sepanjang umur pokok.  Ia bertujuan untuk mendapatkan pokok yang subur, seimbang dan produktif.  Pemangkasan ini melibatkan penjarangan dahan atau ranting yang rapat, bertindih, bersilang atau lemah membuang tunas-tunas air, dahan-dahan berpenyakit, rosak, patah dan mati.

Jadual Pemangkasan

Umur pokok Anggaran tinggi pokok Gerak kerja Catatan
6 bulan 0.6 m Memancang kayu sokong. Pastikan batang pokok adalaah tegak.
6 bulan 1.1 m Pangkas segala dahan sisi di bawah paras 0.3 meter rapat pada batang pokok.  Dahan-dahan sisi di atas paras 0.3 meter yang cergas dan saiznya hampir sama dengan batang utama pokok dicantas separuh dahannya. Elakkan daripada pemangkasan yang keterlaluan.  Pemangkasan yang keterlaluan boleh mengencatkan pertumbuhan pokok.  Disyorkan ketinggian paras pemangkasan tidak melebihi 1/3 ketinggian pokok pada ketika kerja pemangkasan dilakukan.
1 tahun 1.6 m Pangkas segala dahan sisi dibawah paras 0.5 meter.  Dahan-dahan sisi
lain dijarangkan untuk mendapatkan
orientasi dahan yang seimbang.
Pastikan hanya satu batang utama pokok sahaja.  Dahan-dahan sekunder (dahan yang muncul dari dahan sisi) yang lemah, bertindih, melempai atau terlalu rapat antara satu dengan lain juga dipangkas.
1 1/2 tahun 2.1 m Cantas segala dahan sisi di bawah
paras 0.7 meter.  Dahan-dahan sisi
lain dijarangkan untuk mendapatkan
orientasi dahan yang seimbang.
Dahan-dahan skunder yang lemah, bertindih, melempai atau terlalu rapat antara satu dengan lain juga dipangkas.
2 tahun 2.5 m Pangkas segala dahan sisi dibawah paras 0.75 meter.  Dahan-dahan sisi
lain dijarangkan supaya setiap pokok mempunyai 6-8 dahan sisi yang seimbang.
Dahan-dahan sekunder yang lemah, bertindih, melepai atau terlalu rapat antara satu dengan lain juga dipangkas.
2 1/2 tahun 2.9 m Pemangkas pembetukan kali terakhir dilaksanakan.  Bagi klon (CH 28) yang batang pokoknya jauh lebih dominan
dari dahan sisi, batang utama pokok dipangkas pada paras 2 – 2.5 meter.
Ketinggian paras dahan sisi primer yang pertama selepas pemangkasan pembetukan terakhir ialah antara 0.75 hingga 1 meter.  Segala dahan sekunder di sepanjang satu meter dari pangkal dahan sisi dipangkas.
3 tahun 3.3 m Mencantas dahan yang berpenyakit, bertindih, bergeser.  Buang segala
tunas air.
Pemangkasan penjagaan diteruskan setiap setengah tahun sekali selepas ini.

Pembajaan

Umur pokok
(tahun)
Kadar Baja Kimia (g/pokok/tahun) Baja Organik
(kg/pokok/tahun)
N P K20 Mg
1 165 163 125 40 10
2 330 325 250 75 10
3 495 488 375 110 15
4 530 520 565 150 15
5 670 650 710 185 20
6 795 780 850 225 30
7 1,060 1,040 1,130 300 40
8-20 1,325 1,300 1,415 375 40

Pengurusan air:

Anak pokok yang baru ditanam di ladang perlu disiram sekiranya keadaan tanah adalah kering.  Siraman boleh dihentikan apabila anak pokok pulih dari kejutan pindahan ke ladang.

Penjarangan buah:

Untuk mendapatkan hasil yang bermutu tinggi dan buah yang besar, penjarangan buah perlu diamalkan dengan membiarkan hanya satu biji sahaja untuk membesar bagi setiap ranting pendek.  Penjarangan buah juga membolehkan pembentukan buah yang seragam saiznya dan juga membantu mengurangkan kerosakan daripada serangan ulat pengorek tanah.


PENYAKIT, PEROSAK TANAMAN CEMPEDAK DAN CARA KAWALANNYA

PENYAKIT:

  • Mati rosotPenyakit yang paling serius untuk tanaman cempedak ialah penyakit bakteria yang disebabkan oleh pathogen Erwinia carotovora yang menyerang bahagian dahan dan pangkal pokok.  Pada permulaan serangan, daun-daun yang dijangkiti penyakit akan menguning.  Bahagian dahan yang diserang mengeluarkan pembesaran damar yang berwarna putih kekuningan.  Permukaan kulit menjadi lembut, berair dan berbau busuk.  Apabila kulit dikopek, permukaan kayu di dalamnya telah bertukar ke warna perang.  Untuk membasmi, cantas dahan-dahan yang diserang dicantas dan bakar.  Bagi jangkitan yang telah parah, pokok perlu ditebang dan dibakar.   Semua alat yang digunakan untuk memotong dan memangkas pokok hendaklah dibasmi kuman dengan mencelupkannya di dalam alkohol 85% atau formalin 3%.
  • Reput putik buahSerangan kulat Rhizopus artocarpi atas putik-putik buah mengakibatkan putik-putik menjadi hitam dan gugur.  Sembur racun kulat seperti cuprous oxide dengan kadar 0.2% bahan aktif dua minggu sekali pada peringkat pembungaan adalah disyorkan.

MAKHLUK PEROSAK :

  • Pengorek buah (Margaronia caesalis)
    Larva yang baru menetas mengorek dan masuk ke dalam isi buah dan memakannya dan meningalkan lubang di permukaan buah.  Bahan buangan atau fras dikeluarkan dari lubang ini.  Balut buah dua minggu selepas berputik dengan karung kertas.
  • Pengorek batang (Apriona flavescens)
    Larva mengorek ke dalam batang dan mengambil masa lebih enam bulan untuk matang.  Larva akan mengorek terowong di sepanjang ranting hingga ke dahan dan ke batang utama.  Ia mengeluarkan  frass melalui lubang yang dikorek. Daun dan pucuk menjadi kuning dan kering.  ranting dan dahan yang diserang dipangkas dan dibakar.
  • Lalat Buah (Backtrocera spp.)
    Bertelur di dalam buah yang hampir masak.  Mengorek dan memakan isi buah.  Bungkus buah apabila saiz mencapai 16-18 cm dengan karung kertas.  Penggunaan umpan protein promar dicampur dengan racun perosak seperti malathion dan disembur ke daun.  Penggan bahan penarik methyleugenol untuk memerangkap lalat buah.


KEMATANGAN BUAH CEMPEDAK

Buah cempedak klon CH 28 akan masak di atas pokok 94 – 105 hari selepas tarikh jambak bunga betina mula berkembang.  Buah yang matang dan sesuai untuk dituai apabila salah satu daripada daun pengasuhnya bertukar warna daripada hijau kepada kuning, iaitu 9-14 hari sebelum buah masak di atas pokok.  Sekiranya buah dikutip pada peringkat ini, ia akan masak dalam tempoh 4 hari bawah keadaan ambien.  Mutu buah didapati tidak terjejas walaupun warna isinya adalah sedikit pucat kalau dibanding dengan buah yang dipetik masak atas pokok.

PENGENDALIAN LEPAS TUAI

  • Pengendalaian di ladang
    Buah yang dipetik dikumpulkan di dalam bakul rotan atau bakul plastik untuk memudahkan pemunggahan ke atas lori atau treler.  Anyaman daun kelapa atau kertas yang membalut buah cempedak dijadikan bahan mencegah geseran buah.  Buah yang dipungut tidak didedahkan kepada cahaya matahari dan perlu diangkut ke rumah pembungkusan dengan secepat mungkin.
  • Pengedalian di pusat pengumpulan
    Selepas dibasuh, buah dikering serta digredkan berdasarkan saiz, kematangan dan kualiti buah secara umum.  Buah yang bergred tinggi hendaklah mempunyai ciri-ciri yang seragam, matang, tidak terlalu masak, bersih, rupabentuk yagn menarik, tiada tanda kerosakan oleh penyakit atau perosak, tiada lebam, luka atau kepecahan kulit.  Buah yang telah digred kemudian dibungkus dengan kertas sebelum dimasukkan ke dalam bakul untuk dipasarkan.  Bagi pasaran jauh, penggunaan kotak ‘corrugated fiberboard’ yang mempunyai lubang pengudaraan sesuai digunakan untuk mengelakkan buah bertindih atau bergesel.

·         Pengangkutan
Buah cempedak yang matang akan mula masak dalam tempoh 4 hari.  Oleh yang demikian, hasil buah hendaklah dihantar ke pasar dengan secepat mungkin.  Bakul-bakul atau ‘corrugated fibreboard’ yang diisi dengan buah cempedak perlu disusun di atas lori bagi memastikan pengudaraan yang baik.

No related posts.

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)