Panduan Menanam Tembikai Manis

Tembikai (nama botani: Citrullus Lanatus) atau dikenali dengan Timun Cina di Pantai Timur, Semangka merupakan pokok menjalar (memanjat dan melata) yang berasal dari selatan Afrika dalam famili Cucurbitaceae.

Penjelajah Afrika, David Livingstone, melaporkan bahawa terdapat banyak tembikai di padang pasir Kalahari, di mana ia tumbuh meliar dan dinamakan Tsamma.

Tumbuhan berbunga ini mengeluarkan buah aksesori yang dipanggil ‘beri palsu’. Buah tembikai ini mempunyai kulit yang licin dan isi (selalunya merah) yang berair dan manis. Nama Citrillus vulgaris juga kadangkala digunakan untuk merujuk kepada buah ini (vulgaris bermakna biasa).

VARIETI TEMBIKAI

Tembikai mengandungi lebih dari 90% air, vitamin C, kalsium, fosforus, natrium, kalium dan unsur-unsur zat makanan yang lain.  Berikut adalah keperluan asas untuk tanaman tembikai:-

  1. Iklim
    Memerlukan cuaca panas untuk pertumbuhan dan penghasil yang baik.  Suhu antara 25-35oC pada siang hari dan 18-22oC pada sebelum malam adalah amat sesuai.  Suhu yang tinggi boleh memendekkan jangka masa matang.  Tembikai tidak sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi yang suhunya kurang dari 22oC.
  2. Tanah
    Tembikai boleh ditanam dikebanyakan jenis tanah yang mempunyai keasidan yang sederhana iaitu pH 4.5-7.0, bagi tanah yang mempunyai pH yang rendah pengapuran diperlukan.  Tanaman ini didapati lebih sesuai apabila ditanam di tanah jenis gembur berpasir dan tidak menakung air. Tanah yang tinggi kandungan liat dan menakung air didapati tidak sesuai.  Manakala kawasan yang paling sesuai ialah kawasan yang rata. Tanah yang sebelumnya telah ditanami tembikai atau lain-lain tanaman daripada keluarga cucurbitaceae (labu, petola, peria, timun) tidak digalakkan ditanami lagi dengan tanaman tembikai untuk tempoh 3 tahun.  Ini adalah untuk mengelakkan penyakit yang berjangkit dari tanah.

KULTIVAR YANG DISYORKAN

Varieti yang popular pada masa ini ialah yang diimport dari Taiwan iaitu New Dragon, Super Dragon dan Flower Dragon.  Kultivar tanpa biji yang ditanam di Malaysia terdiri daripada jenis kacukan hibrid F1 dari Taiwan dan Jepun yang mempunyai ciri-ciri baik seperti jangka masa matang yang singkat, hasil yang tinggi dan mutu buah yang baik.  Jenis baka tulen biasanya lambat matang, hasilnya rendah dan mutu buah kurang baik.


PENANAMAN

Pokok tembikai ditanam dari biji.  Terdapat 2 cara penanam tembikai iaitu sistem tanam terus dan sistem mengubah dimana  biji benih atau disemai dahulu dalam beg plastik yang dipanggil kerek.

  1. Sistem Tanam Terus
    Diamalkan di kawasan yang luas melebihi 3 hektar.  Keperluan biji benih ialah diantara 250-350 gram sehektar.  Biji-biji benih ini direndam selama 12 jam dan digaul dengan racun kulat (thiram pada kadar 3 gram bagi 1000 gram biji benih).  Kemudian ianya dibungkus dalam kain lembap sehingga biji benih kembang dan akar pertama kelihatan barulah ditanam ke ladang pada kadar 3-4 biji benih selubang.
  2. Sistem Semaian (kerek)
    Campuran tanah dan tahi ayam dengan kadar 3:1 disediakan dan diisi ke dalam beg plastik kecil (kerek).  Dua atau 3 biji benih disemai di setiap kerek dan diletakkan di tapak semaian yang mempunyai 50% lindungan dan disiram 2 kali sehari.  Sekiranya tiada lindungan, selepas disiram kerek-kerek perlu ditutup dengan plastik hitam sehingga biji benih bercambah.

Tanah yang telah dibajak, digali lubang berukuran 30 cm x 30 cm x 30 cm dengan jarak tanaman 2.0 x 2.5 meter.  Ini memberikan 2000 lubang sehektar bagi kawasan tanah berpasir.  Tanah yang mempunyai lebih kandungan liat seperti tanah mineral memerlukan lubang yang lebih besar dan dalam lagi.

Sebelum mengubah, anak benih dan lubang tanaman disiram.  Sebanyak 1.0-1.5 kg. tahi ayam kering dan satu sudu (6-8 gm) racun serangga (seperti carbofuran) dibubuh ke dalam lubang dan digaul dengan tanah.  Setiap lubang ditanam dengan 2 anak benih.  Sebaik-baiknya penanaman dirancang supaya bermula pada akhir musim hujan.


PENJAGAAN

  • Sungkupan
    Sungkupan dibuat sebaik sahaja anak benih diubah ke ladang.  Ini bertujuan untuk mengekalkan tahap kelembapan tanah dan membantu pengawalan rumpai.  Antara bahan-bahan yang boleh digunakan ialah rumput, lalang, jerami kering, surat khabar lama dan plastik bersalut aluminium.
  • Pemangkasan
    Jalar tanaman tembikai perlu dipangkas pada ruas keenam atau ketujuh iaitu apabila tanaman berumur diantara 10-15 hari.  Ini dapat menjamin tanaman tumbuh dengan lebih subur dan memberi buah yang lebih seragam.
  • Pembajaan:

    Pusingan Massa Jenis Baja Kadar Pokok Amaun/Hektar
    1
    2
    3
    4
    Sebelum menanam
    2 minggu
    4 minggu
    6 minggu
    Baja organan
    15:15:15
    12:12:17:2
    12:12:17:2
    1 kgf
    30 g
    100 g
    100 g
    4 tan
    120 kg
    400 kg
    400 kg

    PENYAKIT, PENYEBAB DAN CARA KAWALAN

    • Lecur anak benih (Phthium spp. dan Rhizoctonia solani)
      Serang anak benih dalam semaian dan baru dialih.  Anak benih jadi layu kerana pangkal batang telah melecuh dan reput. Sering berlaku pada tanah yang salirannya tidak memuaskan. Rawat biji benih dengan racun kulat thiram atau benomyl.  Amalkan giliran tanaman dan sembur dengan racun kulat seperti mancozeb atau maneb.
    • Layu fusarium (Fusarium oxysproum)
      Anak benih yang diserang akan reput atau terbantut.  Pada pokok dewasa ialah satu jalar menjadi layu dan akan merebak ke jalar yang lain.  Akhirnya seluruh pokok menjadi layu dan kering.  Boleh musnahkan seluruh kawasan dalam masa yang singkat.  Pastikan saliran yang baik.  Musnah atau bakar pokok yang diserang.  Kawal rumpai untuk mengurangkan perumah.
    • Antraknos (Colletotrichum lagenarium)
      Bintik berwarna hitam pada daun.  Rawat biji benih dengan racun kulat.  Amalkan giliran tanaman.  Sembur dengan racun mancozeb, copper hyudroxide, propineb, ziram, carbendazim, chlorothalonil atau meneb.
    • Mozek virus (Virus)
      Daun menjadi berkerekot bertompok hijau tua dan hijau muda.  Pokok menjadi kuning dan terbantut.  Menyebabkan kekurangan hasil yang banyak.  Musnahkan pokok yang berpenyakit.  Guna varieti rintang dan kawal perumah yang merebakkan penyakit.
    • Kulapuk Downi
      Menyerang daun tua.  Sembur dengan Metalaxyl dan musnah pokok yang telah diserang.
    • Bintik berpusar
      Menyerang batang, daun dan buah tembikai.  Ia disebarkan melalui hujan dan sistem pengairan.  Sembur dengan menggunakan racun kulat yang disyorkan.
    • Hawa batang
      Menyerang daun, batang dan buah.  Serangan ke atas batang menyebabkan bintik bermula dari ruas kemudian memanjang dan pecah.  Pada daun, tangkai dan batang, bintik berwarna coklat atau kelabu terbentuk.  Sembur dengan racun kulat yang disyorkan.

    GANGGUAN FISIOLOGI PADA BUAH TEMBIKAI

    • Buah tidak bulat bentuknya
      - tanah terlalu kering dan kurang baja.
      - jangkitan dan serangan perosak yang teruk.
      - buah terlalu dekat atau terlalu jauh dari pangkal pokok
      - kacukan tidak sempurna
      - ada serangan lalat buah
    • Buah menjadi retak
      - faktor varieti
      - kelembapan tanah berubah secara mendadak
      - penyiraman yang terlalu banyak semasa buah hampir masak
      - serangan perosak hamama merah yang teruk
    • Buah tidak manis
      - faktor varieti
      - pembajaan yang tidak sempurna
      - serangan perosak dan penyakit yang teruk
      - suhu rendah ketika buah sedang masak
      - buah masak ketika musim hujan
    • Kulit buah menjadi tebal
      - faktor varieti
      - buah terlalu dekat denan pangkal pokok
      - suhu rendah sewaktu buah masak
      - buah belum masak
    • Isi buah berwarna pucat
      - faktor varieti
      -suhu rendah sewaktu buah masak
      - terlalu banyak baja P digunakan
    • Buah berongga
      - faktor varieti
      - air terlalu banyak ketika buah masak
      - buah terlalu dekat dengan pangkal pokok


    KUTIPAN HASIL

    Tembikai Wangi dipetik apabila mencapai peringkat masak tetapi masih keras dengan kandungan pepejal larut keseluruhan pepejal larut 8-10 oBirx.  Tembikai wangi matang diantara 49-51 hari di tanah bris dan antara 58-65 hari di tanah jenis hakisan granite.

    Buah yang dipetik terlalu awal tidak semanis buah yang dipetik pada peringkat masak.  Keadaan pokok semasa buah membesar juga mempengaruhi kemanisan buah.  Pokok yang sihat sehingga buah dipetik menghasilkan buah yang manis, tetapi sekiranya pokok tidak sihat dan daun-daun banyak yang rosak atau mati seperti diserang oleh penyakit, walaupun pada peringkat akhir tumbesaran buah, akan menyebabkan buah tidak manis.  Ini disebabkan gula yang terdapat dalam buah dibekalkan terus daripada daun.

    Antara tanda-tanda yang menunjukkan buah tembikai wangi sudah boleh dipetik adalah seperti berikut:-

    • Bagi Tembikai Wangi varieti Jade Dew, buah sudah boleh dipetik pada peringkat 24 hari selepas bunga kembang.  Pada ketika ini tahap kemanisan atau kandungan pepejal larut sudah mencapai 10 oBirx..  Kemanisan buah akan bertambah sedikit selepas disimpan beberapa hari.
    • Kebanyakan buah yang matang akan membentuk jejaring (netting) pada permukaan buah.
    • Warna buah mulai berubah dengan nyata.  Jade Dew biasanya berwarna kehijauan pada peringkat muda dan menjadi kekuningan apabila matang.  Buah juga berbentuk bulat atau leper sedikit.
    • Lapisan absis pada tampuk buah mulai terbentuk.  Buah yang terlalu masak, mudah tanggal daripada tampuk atau tangkainya.  Buah Jade Dew mudah tercerai daripada tampuk atau tangkainya pada umur 30 hari selepas bunga kembang.
    • Aroma atau bau ‘musky’ mulai dikesan dan semakin kuat apabila buah semakin masak.
    • Bahagian hujung buah agak lembut.
    • Tanda-tanda lain termasuklah bulu di bahagian tangkai buah mulai kering dan gugur, sulur paut yang paling hampir dengan tangkai buah mulai layu dan kering.

    No related posts.

    Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

    No Comments

    (Required)
    (Required, will not be published)