Panduan membina kandang kambing

Secara kasarnya, anggaran kos membina kandang kambing adalah di antara RM500 ke RM1ribu bagi setiap ekor kambing. Bagaimanapun kos sebenar adalah bergantung kepada spesifikasi sebenar kandang yang hendak dibina dan kualiti bahan yang digunakan. Turut mempengaruhi kos sebenar adalah lokasi di mana kandang dibina kerana kos buruh dan bahan yang berbeza di antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain.

Jika kandang dibuat secara agak ringkas, dan menggunakan kayu terpakai, kos purata bagi seekor kambing mungkin hanya kira-kira RM500. Kos ini boleh mencapai RM1ribu jika spesifikasinya lebih tinggi serta bahan yang digunakan lebih mahal.

Menggunakan formula ini, sekiranya anda bercadang membela 50 ekor kambing betina dan seekor pejantan, and perlu bersedia dengan modal sekurang-kurangnya RM26ribu untuk membuat sebuah kandang. Lain-lain kos adalah untuk membeli peralatan seperti mesin chopper dan peralatan ladang seperti sabit, cangkul dll.

Kos seekor induk betina kacukan adalah di antara RM500 hingga RM600, manakala seekor pejantan Boer Fullblood dengan sijil berharga di antara RM2,500 hingga RM3,500. Jadi secara kasarnya anda memerlukan RM30 ribu untuk baka kambing. Lain-lain kos adalah kos operasi untuk membeli makanan dan ubat-ubatan serta kos elektrik dan petrol.

Panduan Rekabentuk Kandang Kambing

Kandang kambing direkabentuk secara memanjang untuk memaksimakan peredaran udara di dalamnya. Bahagian hadapan atau belakang sebaik-baiknya dibina menghadap matahari terbit dan terbenam bagi membolehkan kandang mendapat cahaya matahari secukupnya. Ini membantu membunuh bakteria, hama, tungau dsb yang merupakan musuh ternakan kambing.

Rekabentuk dan ketinggian bumbung juga perlu diambil perhatian supaya peredaran keluar masuk udara ke kandang dapat dimaksimakan. Di samping mengurangkan haba dari terperangkap di dalam kandang, rekabentuk bumbung yang sesuai juga membantu pertukaran udara, mengelakkan bakteria di dalam udara dari terperangkap di dalam persekitaran kandang dan dengan itu mewujudkan keadaan persekitaran kandang yang lebih sihat. Salah satu pembunuh utama ternakan kambing adalah wabak pneumonia (radang paru-paru) yang merebak dari seekor ternakan kepada yang yang lain melalui udara, dan selalu berlaku di waktu musim hujan.

Ketinggian lantai kandang dari permukaan tanah adalah sebaik-baiknya 6 kaki bagi membolehkan pekerja keluar masuk dengan bebas ke bawah kandang, untuk kerja-kerja mencuci kandang dsb. Permukaan lantai bawah mestilah dibuat sedikit curam dan dibina longkang bagi mengelakkan air bertakung di bawah kandang. Perigi kumbahan wajar dibina bagi membolehkan air kencing ternakan mengalir terus ke dalamnya. Sekiranya kewangan mengizinkan, lantai bawah haruslah disimen supaya tinja(najis) dapat dicuci dengan mudah.

Rujukan :JVM

No related posts.

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

No Comments

(Required)
(Required, will not be published)